Pages

Friday, August 20, 2010

Hanya Kerana...

     Kini genaplah 20 hari aku berpuasa di bulan Ramadhan.Kewajipan rukun Islam yang ketiga ini tidak pernah aku abaikan sejak di bangku sekolah rendah lagi.Tanpa di sangka-sangka aku sudah memasuki 10 malam terahir.Malam yang penuh keberkatan hampir tiba iaitu malam Lailatulqadar yang hanya datang satu malam dalam satu tahun.
Aku tekun menghadap muka komputer. Berusaha untuk menyiapkan ‘assigment’ kerana tarikh hantar hampir tiba.Kadang-kadang terlintas di benakku untuk memulakan ibadat bagi persiapan menanti laailatulqadar.Ah.. aku sudah bosan menghadap komputer.
                 Mataku mengerling ke arah jam di dinding.Jarum jam tepat menujukkan pukul 12 malam. Aku masih belum tidur dan waktu sahur pun sudah hampir tiba. Makanan untuk sahur akan di sediakan di kolej pada pukul 2 pagi. Sesekali aku merungut kerana waktu sahurnya terlalu awal ku rasakan. Bagi melepaskan tekanan yang di rasakan berat di kepala kerana memikirkan ‘assigment’ aku lantas mencapai bungkusan rokok Dunhill di atas mejaku. Hah….aku betul-betul terkejut apabila menyedari rokokku sudah tinggal sebatang. Waktu Subuh lambat lagi. Macam mana aku hendak menanti ketibaan subuh tanpa di temani kepulan asap-asap rokok.Aku makin gelisah. Namun aku sudah tidak mampu untuk menahan keinginanku untuk menyedut asap dari sebatang rokok. Tengkukku dirasakan sudah begitu banyak bendalir pekat dan menantikan kedatangan kepulan asap yang mampu untuk mencairkannya kembali.
                Aku terus menyalakan hujung rokok. Asap dari pembakaran tembakau itu ku sedut sedalam-dalamnya. Pergerakan asap didalam tengkuk ku rasai sehingga ia sarat di dalam dada dan membuatkan aku merasa sedikit kenikmatan. Asap yang telah ku sedut itu kemudian di hembus perlahan-lahan melalui rongga hidung dan mulut. Melihatkan asap yang berkepulan di udara membuatkan aku tenang. Tiba-tiba terlintas di fikiranku pandangan masyarakat. Sesetengah masyarakat yang anti kepada rokok sering menggelarkan asap yang memberikan nikmat kepada aku itu sebagai asap durjana. Aku juga sedar akan kenyataan itu namun aku rasakan belum sampai masanya untuk aku berhenti. Aku rasakan cukup sukar untuk berhenti. Mungkin kerana aku sudah lama terjebak dalam kehidupan merokok dan sudah menjadi perokok tegar yang sentiasa ketagih.
            Tiba-tiba Zai muncul dihadapan pintu bilikku.Terpapar kegelisahan di raut wajahnya dan seperti memerlukan bantuan.
“Man, ko ada sigup ka?”sepotong pertanyaan dari Zai yang pekat dalam loghat Sabah.
“Ni yang ‘last’ la.” Jawabku sambil menunjukkan rokok yang masih menyala di hujung jariku.
“La..aku pun ada sebatang sudah ni.Jom kita keluar ke kedai.”
“Jap.. aku nak habiskan rokok ni dulu.”
“Ok”. Zai menjawab ringkas sambil turut menyalakan rokoknya yang terakhir lantas duduk di atas katil aku.

               Setelah bara rokok sudah hampir membakar semua tembakau, lantas aku membuangnya ke dalam bekas habuk yang di perbuat dari tin susu. Aku bingkas dari kerusi dan mencapai dompetku di dalam almari. Aku hampir terlupa dompetku sudah tidak berisi wang.
“Alamak... duit aku dah habis la. Duit syiling ada la..”
“Aku pun tiada wang ni.Nanti kita singgah di bank la,”  sahut Zai pula.
“Cepat la kalau nak keluar.. isap cepat skit”. Aku sedikit berseloroh.
”Kejap bha..tadi kau juga yang mau tunggu-tunggu”. Zai mula merungut sambil menghisap dan menghembus berkali-kali rokok di tangannya dengan cepat.

            Sebaik Zai membuang puntung rokoknya ke dalam bekas habuk yang aku gunakan tadi, kami lantas mencapai topi keledar dan keluar dari bilik. Setelah tiba di tempat parkir motor, aku tanpa membuang masa terus menempatkan punggungku di atas kusyen motor Honda C70 sambil menghidupkan enjin motor tersebut. Motor yang di beri oleh pak cik aku itu berderum kuat membelah keheningan malam. Sesekali minyak motor ku pulas bagi mengelakkan motor yang agak usang itu mati enjinnya. Walaupun motor Honda C70 ini agak ketinggalan zaman, namun aku sedikit pun tak merasa aib apatah lagi untuk malu semasa menunggangnya. Asalkan ada kemudahan, cukuplah. Dari aku berjalan kaki berkilo-kilo setiap hari, ada baiknya aku naik motor cabuk ni.

            Aku dan Zai mengharungi kesejukan malam dengan menaiki motor usang ku ini. Destinasi yang mula-mula mestilah bank kerana kami masing-masing sudah ketiadaan wang. Sampainya kami di Bank Islam, terus kami berebut untuk menggunakan mesin ATM. Tetapi amatlah kecewanya hati aku.

”Hah!! Under maintenance??” suara Zai penuh dengan kejutan.
“Ye la… dah pukul 12 lebih dah ni. Dah, dah... jom gi bangunan KPS kat sebelah.. mana tau ATM dia boleh guna lagi ke”, aku memberikan usul yang penuh pengharapan.

            Dengan segera aku dan Zai mendapatkan motor untuk pergi ke bangunan yang berdekatan. Amat berharap supaya ATM lain masih berfungsi.  Alangkah kecewanya tatkala melihat di skrin ATM, perkataan yang sama dengan ATM di Bank Islam,  “Under maintenance”.

            Kegelisahan Zai makin bertambah. Begitu juga dengan aku. Tak dapat di bayangkan , bagaimana kami nak teruskan kehidupan sepanjang malam tanpa rokok. Siang hari puasa.

”Macam mana ni?”, Zai mula kebingungan lagi.
            Aku tak menjawab soalan tersebut. Aku menyeluk tangan kedalam poket seluar. Ku genggamkan syiling-syiling yang ada dalam poketku dan ku mulai mengira jumlah syiling yang aku ada. Aku amat berharap agar syiling yang aku miliki mampu untuk membeli rokok. Walaupun dalam kedinginan malam, peluhku mula mengalir perlahan dari dahiku.

” Aisshh.. tak cukup la nak beli rokok. Ada empat ringgit je,” aku mula mengeluh.
”Nanti cuba tengok yang aku punya ada berapa. Mana tau cukup.” Zai mula mengira syilingnya.

”Ha..ha..ha.. ada tiga ringgit setengah ja..” Zai tertawa kerana jumlah syilingnya kurang dari aku.
”Cukup dah tu, kita berpakat la. Dah boleh beli winston ni.”
”Oh.. tapi teda apa ka pakai syiling semua. Malu la beli rokok pakai syiling”.
”Ah, apa nak malu. Duit jugak ni. Kalu kedai tu tak mau, kita gi kedai lain. Bukan susah”.
” Ha..ha..ha.. ok, jom pergi beli. Tapi kau la pergi bayar”.
“ Ye lah...”

            Kami kembali menunggang motor. Walaupun tak dapat mengeluarkan duit dari bank, tapi kami masih mampu untuk membeli sebungkus rokok winston. Alangkah gembira bukan kepalang.

            Sesampainya ke kedai yang dituju, aku terus meminta sebungkus rokok winston dari penjaga kedai. Agak hampa apabila rokok winston sudah habis stok. Ah, terpaksa pergi ke kedai lain la. Aku teruskan perjalan ke kedai lain yang berdekatan. Apabila sampai di kedai yang dituju, aku kembali hampa.

”Ish, tutup pulak kedai ni,” aku mula merungut.
”Kita pergi kedai lain la pulak.”
”hei tuan kedai ni, nak menjual ke nak meniaga...” aku teruskan rungutan.

            Sesampainya ke kedai seterusnya, aku terus meminta winston light. Dengan muka selamba, aku meletakkan syiling ke atas meja kaunter kedai.

”Mak aih.. banyaknya syiling”. Penjaga kedai tertawa melihat syiling yang aku berikan padanya.

            Tak tahulah dia nak sindir aku ke, dia nak melawak ke, dia terkejut ke, aku hanya membalas dengan muka tersengih ibarat kerang yang busuk. Apa yang penting, malam ni mulut aku dapat berasap. Zai yang menanti di motor tersenyum melihat aku kembali bersama sebungkus rokok di tangan.

”Gila la malam ni. Nak dapatkan sebungkus rokok pun punyalah susah.” aku membuka bungkusan plastik rokok dan mengambil sebatang isinya lantas memberikan kotak rokok kepada Zai.
” Akan aku ingat peristiwa malam ni sampai bila-bila”. Zai terus tertawa besar sambil menghembuskan asap rokok dari mulutnya.
”Jom balik. Nak bersahur pulak ni”. Lalu kami pun pulang keriangan dengan rokok yang masih berbara di tangan masing-masing.. Timbul satu kepuasan apabila menghadapi satu malam yang sungguh kelam-kabut  hanya kerana sebungkus rokok...


* Peristiwa ini berlaku pada bulan puasa 2008. kenangan puasa bersama Zai dan kawan-kawan yang lain kini hanyalah tinggal memori. Aku tahu, kegembiraan bersama kalian tidak akan berulang lagi...


zai bersama winston light

AMARAN KERAJAAN MALAYSIA : MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN 


3 Orang mengumpat:

Memorabilia said...

sedih man kawe bc citer ni man...smua tentng kite man.......supportlh blog memorabilia 2 man

Unknown said...

bilo nk mari poso sini nyo??

Zai said...

Hahaha! kenapa winston buli tiada nie malam? huaaa!! xD