Silat sememangnya sinonim dengan bangsa Melayu. Masyarakat Melayu dari zaman dahulu-kala lagi menggunakan silat sebagai seni mempertahankan diri dan medium latihan bagi menyihatkan badan. Di imbau dari sejarah juga dapat dipastikan silat pernah digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dahulu seperti Hang Tuah lima bersaudara, Dato’ Bahaman, Maharajalela, Mat Kilau dan sebagainya untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan. Sejak berkurun lamanya silat bertapak di Tanah Melayu dan semakin berkembang dengan penubuhan pelbagai aliran seperti Gayong, Cekak, Lincah dan banyak lagi aliran lain menjadikannya seni mempertahankan diri yang diiktiraf dunia dan mendapat tarikan negara luar untuk turut mempelajari silat.
Di Malaysia kini, ribuan jenis aliran seni mempertahankan diri muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Seni beladiri dari negara luar menjadi tumpuan dan mendapat penglibatan pelbagai pihak. Semakin lama, silat yang menjadi satu seni kebanggaan orang Melayu semakin terpinggir. Pengamal-pengamal silat kian berkurangan saban tahun dan masyarakat Melayu sendiri semakin alpa memperjuangkan seni warisan bangsa. Hal yang membimbangkan ini masih tidak disedari dan menarik perhatian masyarakat Melayu.
Jika diperhatikan secara umumnya, silat semakin terpinggir kerana masyarakat melayu sekarang kurang diberikan pendedahan tentang kewibawaan silat yang diturunkan oleh nenek moyang kita dan kepentingannya lebih-lebih lagi masyarakat di bandar. Kawasan bandar yang kekurangan kawasan lapang lebih menyukarkan pembukaan gelanggang silat dan hanya terhad di sekolah-sekolah dan beberapa pusat pengajian tinggi sahaja. Hal ini sekaligus menyukarkan golongan yang tidak berkaitan dengan institusi pengajian untuk turut serta dalam pembelajaran seni beladiri ini seperti golongan dewasa dan pekerja. Latihan silat berbeza dengan seni beladiri yang lain dan kurang sesuai dijalankan di dalam gym atau dewan. Sesetengah aliran silat juga memerlukan pelatih melakukan upacara pembukaan gelanggang sebelum melakukan latihan dan upacara ini biasanya memerlukan kawasan yang lapang.
Silat juga sering kali dikaitkan dengan ilmu kebatinan. Hal ini amat membimbangkan banyak pihak terutamanya ibubapa yang tidak mahu anak-anak mereka terlibat dengan amalan yang diragui ini. Banyak kes dimana seseorang pesilat menjadi isim atau gila kerana mengamalkan ilmu kebatinan dan hal ini menyebabkan masyarakat takut untuk mendekatkan diri dengan seni beladiri ini. Padahal bukan semua silat yang mengamalkan ilmu kebatinan malah sesetengah aliran juga tidak memaksa atau menganjurkan pelatihnya mengamalkan ilmu tersebut. Hakikatnya, kebanyakan mahaguru silat tidak menggalakkan dan sesetengahnya mencegah pesilat-pesilat terlibat dengan ilmu kebatinan lebih-lebih lagi yang diragui keabsahannya malahan mendidik pesilat agar patuh dengan ajaran Islam seperti tidak meninggalkan sembahyang, adab dengan ibubapa dan sentiasa berzikir untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.
Dalam era yang serba moden ini. Pada pandangan mereka, silat tidak lebih dari seni tempur yang bersenjata seperti keris dan tongkat serta ditambah dengan bunga-bunga tarian. Hakikatnya mereka tidak sedar bahawa silat itu satu seni yang diamalkan untuk menyihatkan rohani dan jasmani bahkan bukan untuk bertempur semata-mata. Persepsi masyarakat yang sebegini perlu diubah agar hal ini tidak terus berlanjutan ke generasi seterusnya. Walaupun telah ditubuhkan PESAKA untuk menjaga dan memartabat seni warisan melayu ini, namun pertubuhan ini dilihat tidak dapat memainkan peranan yang lebih mapan. Tindakan yang sepatutnya perlu diambil bagi menyedarkan masyarakat tentang identiti sebenar sesebuah pertubuhan silat.
Sebagai masyarakat Melayu, kita perlu sama-sama bangkit membela seni silat yang menjadi lambang tunjang bangsa. Jangan cuma pandai berdalih untuk kita menguburkan seni warisan nenek moyang kita di tanah air sendiri sedangkan silat mula diterima oleh masyarakat luar. Hal ini menunjukkan silat perlu dilihat dengan pandangan yang lebih global dan bukan hanya tersempit dikalangan melayu sahaja. Oleh itu, untuk terus menghidupkan silat di persada dunia, masyarakat melayu sebagai pengasas seni beladiri ini perlu menjadi pancang bagi memastikan silat terus menjadi lambang estetik bangsa.
0 Orang mengumpat:
Post a Comment